Brownies untuk Awak

Awak datang sewaktu saya amat rindu!
Terima kasih kerana mencari saya di facebook. Betul kata awak, amat sukar melupai sesuatu yang pernah memberi kemanisan pada hati. Kita terpenjara oleh masa silam yang santai dan manis. Kenangan itu ulang berulang. Kenangan rupanya tak perlu bukti. Tak perlu simpan barang kenangan. Ia datang sendiri mengikut suasana. Ada yang pedih lirih ada yang manis. Ia datang ulang berulang.
Kali terakhir dulu kita berpamit di tebing Sungai Tar. Awak mahu pulang menyahut panggilan bakti. Kata awak,kita berkelah. Awak minta saya buat brownies. Saya pun bawakan jagung rebus dan brownies kacang pecan. Rupanya awak beli ketam sepit biru dan masak entah apa tapi ia sungguh sedap. Kata saya kenapa guna duit banyak untuk ketam itu, padahal awak boleh beli set Corelle atau Vision untuk ummi awak. Kata awak mahu belanja saya makan sebab selama ini saya kongsi makanan dengan awak dalam kampus. Hahaha.. awak bijak mencium bau makanan. Awak tahu saja hari mana saya bawa bekal dan datang duduk sekali waktu saya lapar dan mencari tempat untuk "hampar tikar". Hari itu kita duduk di situ sambil melihat air mengalir dari Pergunungan Boone di hulu ke Lembangan Pamlico. Makan dan berbual sampai maghrib, hampar sejadah dan solat bawah pokok itu. Kita tak balik selagi makanan tak habis.  Saya tahan dingin dan deru angin sejuk musim luruh kerana ini kali terakhir awak di situ, biarlah awak hirup udara segar, angin dingin, daun gugur dan pandang semua yang ada di depan mata.
Awak pulang dan diam. Saya pula tidak mencari. Beberapa minggu selepas tamat pengajian dan tiba di rumah, tiba-tiba saya dapat kartu Aidilfitri, bertulis... "raya ni, saya harap dapat makan brownies awak".
Awak sudah mengajar di Bukit Minden, rupanya. Dekat saja jaraknya kita lantas kita merancang untuk berkelah lagi! Setelah sekian lama, awak masih minta saya bawakan brownies.
Brownie nya cuma yang satu itu, yang kita sama-sama belajar dengan kawan kita Achariya Kedutat ; yang awak juga buat tapi tak pernah menjadi. Brownie yang baik akan ada permukaan agak berkerak atau crusty, dengan bahagian dalam yang lembut dan lembutnya relai di atas lidah bagai coklat. Bahagian dalamnya terasa sangat seperti coklat membelai tekak, bukan seperti kek atau sifon.
Awak teringin sangat nak makan lah tu! Kesian awak. Kerana itu saya beli oven kecil ini. Awak tak tahu saya tak ada oven di rumah kampung; dan mungkin ketawa kalau saya katakan saya beli periuk oven ini sebab nak buatkan awak brownie .

Awak tak tahu, rumah tua saya di kampung ulu itu biarpun ada kemudahan elektrik tapi kami hidup tanpa oven. Mak saya bakar baulu dalam periuk beralas pasir, ditutupi sekeping zink yang diletakkan bara sabut kelapa sebagai api atas. Awak nak tahu kenapa saya suka buat kek sepanjang tinggal di sana. Hanya kerana saya tak pernah ada peluang buat kek sebelum itu. Brownies itu pun pertama kali saya rasa. Sedap sungguh apatah lagi mewah dengan coklat 3 jenis. Sebab itu waktu di sana ,saya bersungguh belajar buat brownie, bakar kek, masak pai, panggang turkey, charbroil daging, renih stew, buat pasteri, uli roti dan segala jenis makanan Amerika Selatan dan Tengah, Arab , Pakistan, India utara, malah belajar makan ubi keladi warna biji remia dengan Valarie orang Togo itu.  Dan ... ohhhh, tentu awak tidak lupa kita bakar ayam turkey sampai 4 jam semata-mata nak merasa turkey halal waktu malam Thanksgiving. Di sanalah saya baru jumpa peluang buat semua yang saya suka, selain ada awak untuk makan sama-sama.
Awak beritakan yang awak  akan terbang ke benua di bawah sana menyambung PhD.  Selepas itu tiada jejak. Lebih 20 tahun sepi dalam ingatan dan doa. Saya tak mampu melupai awak yang sungguh baik.
Sehingga kelmarin, awak tegur saya. Saya sambut sepantasnya kerana awak tak pernah hilang dari ingatan dan doa supaya kita bertemu lagi. Kita berbual sambung bersambung di talian kerana tak puas ber IM, PM dan WA. Tak sangka awak masih ingat brownies kita. Terima kasih Kauthar kerana menghargai saya sebagai sahabat. Harga sebuah persahabatan adalah manisnya kenangan dan doa. Resepi Achariya saya masih simpan. Terlipat bersama kenangan. Sudah kuning kertasnya. Nah, awak boleh cuba...
 
Saya juga buat brownies semalam,
cepat habisnya tinggal sepotong...



Comments

Popular posts from this blog

Apam Polka Dot tanpa Ovallete

Samperit Resepi Lama

Nasi Kerabu Kedah