Hadapi Zaman Fitnah



Al-Murobbi Syaikh Dr. Yusri Rusydi Al-Hasani: Perawat Jasad dan Roh

Nama beliau adalah Al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid Jabr Al-Hasani. Seorang doktor pakar bedah yang murobbi, alim, zuhud dan wara', juga pakar dalam pelbagai bidang ilmu agama. Berpegang teguh dengan aqidah ahli sunnah wal jama’ah, bermazhab Syafi’ie, berpegang dengan tariqat as-Siddiqi melalui susur galur tariqat as-Syazuli dan merupakan antara ulama Al-Azhar As-Syarif.

|Latar Belakang, Pendidikan dan Pembelajaran|

Dilahirkan pada 25 Muharram 1374 H bersamaan 23 September 1954 M di Hayyu Raudhul Faraj, Kaherah.

Beliau memulakan alam persekolahan di sekolah kerajaan sehinggalah menyambungkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah dan mendapat pangkat ‘Jayyid Jiddan’ pada Disember 1978.

Kemudian beliau mendapat Ijazah Sarjana (M.A) dalam bidang ‘Pembedahan Am dan Pembedahan الأوعية الدموية(Saluran Darah) juga dari Universiti Kaherah pada November 1983 dan beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam ‘Pembedahan Am’ juga dari Universiti yang sama pada Mei 1991.

Kemudian beliau meneruskan pengajian di bidang syariah (B.A) dalam kuliah Syariah wal Qanun, Universiti Al-Azhar pada tahun 1992 dan mendapat pangkat ‘Jayyid Jiddan’ pada tahun 1997.

Beliau mula menghafaz Al-Quran dengan riwayat Hafs ‘an ‘Asim semasa dalam pengajian di kuliyah perubatan melalui guru beliau Fadhilat as-Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Salam Khatir (sekarang bertugas sebagai panel rujukan al-Quran al-kareem di Madinah) dan berjaya mengkhatamkannya secara hafazan pada tahun 1985.

Guru al-Quran beliau yang lain ialah Syeikh Muhammad Adam, Syeikh Muhammad Badawi as-Sayyid yang bersambung sanad mereka dengan Rasulullah صلى الله عليه وعلى آله وسلَّÙ… melalui Saidina Jibril alaihissalam dari Luh Mahfuz dari Allah سبحا نه وتعالى .

|Guru-guru Beliau|

1. Syeikh Hafiz at-Tijani rahimahullah, beliau menghadiri pengajian kitab al-Muwatto’ Imam Malik selama 2 tahun (1976-1978)

2. Syeikh Muhammad Najib al-Muti’ie rahimahullah (pelengkap kepada kitab al-Majmu’ bisyarhil al-Muhazzab), beliau menghadiri pengajian Sahih al-Bukhari dan kitab-kitab fiqh Syafi’ie, beliau juga mendapat sanad hadis dan fiqh ketika pengajian di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA).

3. Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah, beliau menghadiri pengajian kitab as-Syamaa-il lit-Tirmizi, al-Muwatto’ Imam Malik, al-Luma’ fi Ilmi al-Usul yang dibacakan oleh Syeikh Dr Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang). Beliau mengambil sanad tariqat as-Siddiqi ad-Darqawiyah as-Syazuliyyah dari gurunya ini.

4. Syeikh Ahmad al-Mursi an-Naqsyabandi rahimahullah, salah seorang dari ulama Al-Azhar. Beliau kerap menziarahinya dan mengambil banyak faedah darinya.

5. Syeikh Isma’il Sodiq al-Adawi rahimahullah, bekas imam besar Masjid Al-Azhar. Beliau menghadiri pengajian kitab al-Muwatto’ dan tafsir sebahagian surah dari al-Quran. Beliau sentiasa bersama dengan gurunya ini untuk beberapa tahun dan sering bermusafir bersama ke pedalaman Mesir untuk ziarah para solihin. Beliau banyak mempelajari mengenai hakikat ilmu tasawuf darinya.

6. Fadhilat al-Ustaz Prof. Dr. Syeikh Ali Jum’ah hafizahullah (Mufti Mesir sekarang), juga sahabat seperguruan beliau dengan Syeikh Abdullah as-Siddiq al-Ghumari al-Hasani rahimahullah.

7. Fadhilat al-Ustaz al-Imam Muhammad Zaki Ibrahim al-Husaini rahimahullah(ulama sufi besar Mesir)

8. Syeikh as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani rahimahullah.(ulama hadis besar haramain)

9. Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Baa’iets al-Husaini al-Kittani hafizahullah, muhaddis dan musnid Iskandariah.

10. Fadhilat al-Ustaz ad-Duktur Muhammad Rabi’e al-Jauhari hafizahullah (mantan Dekan Kuliah Usuluddin, Univ. al-Azhar).

11. Fadhilat as-Syeikh al-Habib Ali al-Jufri hafizahullah

12. Fadhilat al-Ustaz Hassan Osman hafizahullah.

dan ramai lagi guru-guru beliau.

|Jawatan dan Kerjaya|

Jawatan beliau sekarang ialah Penasihat dan Ketua Jabatan Pembedahan Am dan الأوعية الدموية(Saluran darah) di Hospital Ahmad Mahir at-Ta’limi, Kaherah. Beliau juga merupakan imam dan khatib di Masjid Al-Asyraf, Hayyu al-Muqattam. Beliau juga sering mengajar di anjung-anjung talaqi Masjid Al-Azhar.

|Antara Pengajian-pengajian beliau|

>>Selepas subuh setiap hari di Masjid al-Asyraf, bacaan hadis Musnad Imam Ahmad (khatam) Tuhfatul Ahwazi(khatam) Sunan Abi Daud(khatam), Sunan Nasa'ie dll..

>>Selepas solat Jumaat di Masjid al-Asyraf, kitab al-Muwatto’ Imam Malik, Khasais Al-Kubra karya Imam As-Suyuti dan Hikam ibnu ‘Ato’ illah as-Sakandari

>>Setiap Sabtu jam 10.30 pagi dan khamis selepas Isya' di Masjid Al-Azhar as-Syarif, kitab Sahih al-Bukhari

>>Setiap Ahad selepas Maghrib di Asyirah Muhammadiah, Masjid Syeikh Zaki Ibrahim, kitab Bahjatun nufus syarah mukhtasar Sahih Bukhari.

dan banyak lagi kelas pengajian beliau..

|Mutiara-Mutiara Nasihat beliau kepada doktor-doktor Muslim|

1. Adalah perlu bagi penuntut ilmu perubatan belajar dengan penuh tanggungjawab sehingga dia menjadi pakar dalam bidangnya. Ketika ayahku meninggal ketika aku masih belum tamat pengajian perubatan, aku terfikir untuk keluar bekerja dan mengumpul duit. Syaitan sentiasa mendorong berbuat demikian namun aku mengambil keputusan untut tetap meneruskan pengajian walaupun dalam keadaan payah. Imam Syafie berkata: Jika kamu meninggalkan seorang guru ketika belum sampai masanya, maka Allah akan haramkan kebaikan padamu. Menuntut ilmu memerlukan masa yang panjang dan kecerdikan.

2. Seorang doktor Muslim perlu menguasai ilmu qawaid fiqhiyyah dan qawaid tibbiyah. Perlu juga menguasai maqasid syari’yyah iaitu menjaga akal, harta, agama, maruah dan nasab. Contohnya dalam masalah percampuran nasab seperti bank sperma, ini dilakukan oleh mereka yang jahil dan tak beriman kepada Allah. Tak patut bagi seorang doktor Muslim melakukan demikian kerana kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam.

3. Seorang guru kamu yang mahir dalam ilmu perubatan umpama syeikh kamu dalam agama. Bersungguh-sungguhlah menuntut ilmu daripadanya.

4. Doktor Muslim perlu menguasai sepenuhnya ilmu perubatan. Jika dia mengambil keputusan untuk membedah seorang pesakit, padahal ada cara lain yang lebih baik untuk merawat pesakit tersebut, tetapi tidak diketahui oleh doktor tersebut lantaran kurang ilmunya, maka dia akan disoal di hadapan Allah di akhirat nanti. Doktor perlu tahu sejauh mana keperluan untuk melakukan pembedahan atau tidak, terutama kepada pesakit yang datang yang minta dibedah untuk mengubah ciptaan Allah. (pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan). Doktor Muslim tersebut perlu mengetahui hukum dan menasihati pesakit tersebut dengan baik.

5. Doktor Muslim perlu menghormati manusia sebagai ciptaan Allah. Sebenarnya, kebanyakan ilmu perubatan yang dipelajari hari ini diambil dari fahaman Barat yang menganggap manusia umpama sekeping daging yang tak berguna, bukan makhluq Allah yang perlu dihormati. Kita perlu perbetulkan kembali fahaman yang salah ini. Hubungan dengan pesakit adalah hubungan kasih sayang dan rahmah dengan makhluq Allah, bukan merawat dengan tujuan untuk membuat uji kaji atau bereksperimen. Anggaplah pesakit umpama diri kita sendiri yang perlu ditolong, pasti kita akan memberikan rawatan yang terbaik.

6. Doktor Muslim perlu arif dengan perkembangan terkini dan semasa ilmu perubatan, kerana ilmu ini berkembang dengan pesat, serta kaitkannya dengan hukum agama.

7. Doktor wajib menjaga rahsia dan aurat pesakit, dilarang berdua-duaan dengan pesakit yang berlainan jantina. Buka aurat untuk pemeriksaan sekadar perlu @ darurat @ jika tak dapat dielakkan sahaja.

8. Pastikan doktor Muslim ini berbeza dengan doktor bukan Islam. Kamu bukan dijadikan untuk dunia, tetapi kamu dijadikan untuk akhirat. Rezeki sudah ditentukan Allah, itqan (bersungguh-sungguh) dalam pekerjaanmu itulah yang dituntut. Hikam Ibhu A’thaillah menyebut: kamu sibuk dengan perkara yang telah ditentukan (rezeki), dan menjauhkan diri dari perkara yang dituntut (bersungguh-sungguh) adalah dalil Allah mencabut pandangan baik dari jiwa kamu.

9. Saidina Ali meyebut; Kedudukan seseorang adalah pada apa yang dia kuasai, bukan apa yang dia miliki. Apa yang mampu kita beri pada orang lain itu lebih baik daripada apa yang kita miliki.

10. Penting bagi seorang doktor Muslim terlibat dengan misi kemanusiaan. Aku pernah bertanya kepada Dr. Abdul Qadir Qutb, seorang pakar pembedahan tentang bagaimana untuk menjadi hebat dalam bidang ini? Beliau menjawab: Mahu tak mahu, kamu perlu terlibat dalam misi peperangan, maka kamu akan mendapat pengalaman umpama kamu terlibat dalam ilmu perubatan selama 20 tahun.

11. Ketika terpilih untuk misi kemanusiaan di sempadan Afghanistan,aku sempat merawat 150 orang pesakit. Seorang doctor Afghanistan merasa kagum lantaran banyak pembedahan yang aku lakukan berjaya. Beliau bertanya apakah rahsianya dan aku menjawab; Aku bukan membuatnya dengan tangan, tetapi aku membuatnya dengan hati.

12. Pesanan untuk pelajar perubatan; tuntutlah ilmu untuk mencari redha Allah, bukan tujuan untuk dipandang manusia. Ilmu perubatan adalah ilmu yang bermanfaat untuk manusia. Tanda menuntut ilmu kerana Allah: panjang masanya, bersungguh-sungguh, rendah diri kepada sahabat2 dan pesakit, hormati guru yang mengajar kita. Kekallah dengan apa yang telah ditentukan Allah, itu adalah tanda wali Allah

sumber : Kisah Para Ulama dan Auliya'

Comments

Aishah said…
Amazing person. Doctor and ulama'
Thanks for sharing ya

Popular posts from this blog

Apam Polka Dot tanpa Ovallete

Samperit Resepi Lama

Nasi Kerabu Kedah