Kari Pekat Ikan Bawal Hitam

 
Waktu bergelar pelajar lah kita belajar berdikari. Apatah lagi merantau nun jauh di dunia sebelah sana. Mana mungkin boleh hidup tanpa sambal dan kari. Sehari dua boleh tahan, kalau dah jadi pemastautin kenalah menolak diri mencari cara untuk melayan citarasa dan lidah Melayu. Mahal pun mahal lah. Rempah ratus, belacan dan cili padi dicari jua walau pun kedai barang-barang Asia jauh di luar sempadan negeri; tahan memandu empat jam untuk mencari rempah, cili, asam, kicap dan daging halal.  Kadang-kadang tergelak bila ingatkan "kelaku tak jughuh" ketika tu. Waktu tu tak ingat apa pun....janji halal.

Kenangan ini sering terimbau kerana di sanalah titik mula saya belajar masak. Belajar mengenal bahan makanan, memilih yang baik, halal haram, bagaimana menyimpan dan memasak dengan baik. Kawan serumah dari Kelantan, darinya saya belajar masak nasi dagang dan kuih cik mek molek. Seorang dari selatan mengajar saya laksa johor dan asam pedas yang resepi nya saya guna hingga kini. Seorang lagi Jawa dari Selangor, darinya saya belajar buat sate dan kuah sate, belajar makan tempe ( ya, kami dapat tempe dengan mudah dari Asian Market, Richmond, West Virginia).
Keluarga angkat Pakistan ajar saya masak makanan mereka, dan sungguh berbangga bila saya suka pakai kameez shalwar. Seorang professor universiti kami berasal dari Jordan ajar kami panggang kambing  dan buat makanan dan manisan Arab. Dari mereka kami kenal tahini, safron, bakhlava..

Kami tak pernah jemu belajar memasak. Belajar BBQ dari kawan-kawan Arab. Belajar masak ubi keladi dengan kawan-kawan Afrika, sedar-sedar kami mampu masak nasi beriyani, kuih kacang, pie daging, roti jala dan agar-agar santan gula merah untuk  untuk 100 orang untuk jamuan International Day. Roti jala kari daging cincang kami “was a star of the night”. Kami jugak lah paling kecoh bila Hari Thanksgiving kerana mengambik tugas memanggang ayam turkey untuk semua pelajar antarabangsa yang berkampung di International House.  Sebab tak percaya orang lain buat entah halal ke tidak, semuanya kami buat dari mencari ayam turkey, mencari tukang sembelih, membersih, memerap, menyumbat dan memanggang dalam oven hingga 4 jam!

Saya cuma pandai buat kari saja, selalu jadi tukang kari kepala ikan salmon.
Berkampung di Carolina Utara, tak jauh dari pantai Atlantik. Bekalan ikan sentiasa ada. Boleh dikatakan saya dan kawan-kawan mewah dengan ketam, udang kara dan salmon.
Greenville tak jauh dari pantai, dan banyak tasik di sekitar kawasan , juga sungai besar Tar River yang megalir dari pergunungan hingga ke muara di Washington DC. Ikan air tawar seperti trout juga dan ikan putih ( white fish) dapat la juga kami merasa. Kalau tak pancing sendiri, kami beli dari fish market. Kedai ikan banyak di sana, di panggil Fish Market,  Fish Marketnya bukan macam tempat kita.. Ianya hanya sebuah kedai yang menjual hasil laut dan sungai.


Kami sanggup saja memandu ke luar daerah. Satu kedai yang paling saya ingat di Morehead City, NC ialah Sanitary Fish Market. Pakcik tu selalu bagi kami kepala ikan salmon percuma. Orang sana selalunya beli ikan fillet atau ikan yang dah siap disiang bersih tanpa kepala. Tinggal kepala ikan tergolek-golek dengan mata bundar jernih. Satu hari saya tanya boleh tak kami dapat percuma kepala ikan tu. Dia terus bungkus lima enam .. Alhamdulillah.. kenduri kepala ikan lah warga Melayu Greenville malam tu! Sejak dari tu setiap kali kami beli ikan dia akan bagi free kepala ikan salmon, trout atau mackerel.

Kari Pekat Ikan Bawal Hitam
 
Lain orang lain pula cara masaknya. Saya lebih suka guna bawal hitam untuk di masak kari. Saya membancuh rempah kari dengan serbuk cili untuk menambah kepedasan, tapi saya seimbangkan dengan bawang merah yang saya tumbuk dan campurkan sekali menjadi pes rempah. Selain itu saya gunakan air asam yang agak banyak untuk "melawan" serbuk cili agar pedasnya tidak mendominasi rasa. Rempahnya mesti cukup masak untuk menerbitkan rasa yang sedap. InsyaAllah kuah yang cukup santan, asam dan garam menjadikan kari ini cukup enak.
 
Resepi dan cara membuatnya:









 


 

Comments

Popular posts from this blog

Apam Polka Dot tanpa Ovallete

Samperit Resepi Lama

Nasi Kerabu Kedah